بسم الله الرحمن الرحيم
Lama dah tak menulis di sini. (Ya ke?) Kali terakhir update, itu tentang pengakhiran cerita Q dan Am. Sekarang saya nak cerita dan membebel tentang hidup saya pula.
Lebih kurang lima hari yang lalu, PBAKL 2024 selamat menutup pintu dan melabuh tirainya. Tapi saya yakin, para pencinta buku khususnya, masih terintai-intai memori yang ada, lewat berkeping-keping gambar dan juga bergulung-gulung putaran rakaman video yang tersimpan di dalam alat perakam kenangan masing-masing.
Saya juga tak ketinggalan. PBAKL 2024 merupakan satu pengalaman baru buat saya. Dulu, saya hadir sebagai pengunjung. Tahun ini dan kali ini, saya hadir sebagai petugas di salah sebuah reruai yang tak kurang hebat prestasinya.
Saya, cukup bangga dengan setiap servis yang dihulurkan oleh setiap rakan sekerja. Daripada servis antara kami sendiri (macam soalan "Kau okey ke? Awak okey ke? Dah makan? Dah solat belum? Pergi solat dulu, nanti aku ganti tempat. Ni XX belanja), sehingga servis melayan tetamu istimewa, pengunjung dan pembaca reruai kami, saya rasakan sebuah kehangatan di setiap perlakuan baik tersebut. Terima kasih sebab menjadi orang yang baik.
Despite, ada saja perkara yang kita tak favor, terjadi.
Tapi, apa yang saya belajar, cukuplah kita berusaha kawal apa yang kita mampu. Kelakuan orang bukan dalam kawalan kita. Bukan kita pemegang remote control sikap mereka. Dan orang lain pun, tak boleh nak kawal kelakuan kita. Kita sedang bersabar di antara satu sama lain sebenarnya.
Bukankah kita ini ujian buat diri masing-masing? Surah al-Furqan, ayat 20.
Dan kenangan tak akan lekat di minda dan jiwa kalau tiada manisnya. Jadi, di dalam post ini (walaupun saya tak tahu ada yang baca ataupun tak?), saya nak abadikan ucapan terima kasih banyak buat mereka yang sudi menjejak saya di reruai tempat saya bertugas. Terutamanya buat keluarga saya. Untuk dapat melawat dan bertemu mata dengan saya walau cuma untuk beberapa minit. 🥹 Juga, kenalan dari sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, dan yang paling istimewa – yang sebelum ini cuma kenal sekadar di atas talian, akhirnya Allah rezekikan kita ruang dan peluang untuk berjumpa.
Ruang dan peluang yang terhad. Tapi sebab antara kita ada sesuatu yang terikat, kita rasa buat masa ini, cukup sekadar itu. Dan kita percaya pada rezeki akan datang supaya kita dipertemukan lagi nanti. Sekali lagi. Lagi. Dan lagi.
Dan mestilah, infiniti terima kasih untuk majikan dan rakan sekerja yang memberi peluang dan ruang untuk saya memerhati dengan lebih dekat ragam manusia dunia perbukuan. Kita belajar banyak benda daripada setiap orang. Setiap daripada kita istimewa. Yang pasti, dalam rezeki kita, ada rezeki untuk mereka yang lainnya. Sebab kita hidup ini saling bergantung antara satu sama lain.
Juga untuk insan-insan yang dikagumi dari jauh, yang cuma dapat dilihat dari jauh, tapi tidak untuk semangat menulis yang ditinggalkan. Terasa dekat dengan diri. Ada yang saya mampu dekatkan diri untuk minta doa dan nasihat. Ada yang saya cuma mampu dekati lewat pembacaan daripada penulisan mereka saja. Semoga saya dapat menulis yang baik-baik dan bermanfaat seperti kalian.
Juga, ucapan terima kasih istimewa untuk orang jauh yang sudi menerima kiriman secangkir dopamine booster buatan manusia yang tak seberapa daripada diri ini. Semoga kehangatan espresso + susu panas yang berbuih lembut tu (yang juga mungkin dah suam-suam kuku masa saudara minum) menjadi penutup yang baik buat hari bahagia saudara. Hanya mampu menyampaikannya daripada tangan ke tangan yang lain. This one, memang paling #bittersweet untuk saya. Saya tak tipu hahahah. (Cis)
Apa pun, renung-merenung pasca PBAKL 2024 ini membuatkan saya nekad untuk terus pakai pelitup muka setiap kali saya perlu berjumpa dengan ramai orang. Untuk urusan kerja, terutamanya.
Saya rasa air muka saya terlalu jujur. (Sebab kena tegur dengan rakan sekerja, walaupun apa yang jadi bukanlah salah kami berdua). Walau dah pakai pelitup muka pun, tetap nampak reaksi tu pada mata. Jadi benarlah orang kata, mata jendela hati. Untuk keselamatan jiwa (ceh) pelbagai pihak, memang saya kena stock up pelitup muka nampaknya. Saya juga lebih selesa begitu.
Dan saya harap, orang sekeliling saya boleh faham dan hormat dengan pendirian saya. Sebagaimana saya cuba faham dan hormat mereka semampu saya.
Sebagai penutup, sebenarnya saya cringe dengan entry saya sendiri kali ini. Sangat skema dan... saya sendiri tak tahu nak komen apa? Macam orang baru belajar tulis diari sksk. (🥲)
Okey, terima kasih sudi baca sampai habis. Minta maaf untuk yang saya dah sia-siakan masanya di sini. 😭🥹
Semoga kita berjumpa di penulisan lain yang lebih bermanfaat hendaknya.
Thea,
@thesealedlips
07.1003H.06.2024
Comments
Post a Comment