Ada Apa Dengan Sendi Kita?

بسم الله الرحمن الرحيم

Dalam Surah at-Tin ayat ke-4 Allah SWT telah berfirman dengan maksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)." 

Baik lelaki, baik perempuan. Semuanya diciptakan dalam keadaan yang terbaik kerana Dia Yang Maha Sempurna. Kelebihan kita dan juga kekurangan kita. Dia Maha Mengetahui apa yang mampu untuk kita lakukan demi agama-Nya.

Kadang kita risau dan sedih jika kita tak mampu untuk menyumbang dengan lebih banyak sepertimana yang dilakukan oleh orang kaya-kaya di dunia. Kadang kita risau dan sedih jika kita tak mampu untuk menyumbang yang terbaik kepada masyarakat.

Kita rasa seperti kekurangan sesuatu lantas selalu membuatkan kita berfikir bahawa terciptanya kita ini hanyalah sia-sia. Sedang hakikatnya tidak begitu. Yang menciptakan kita itu Allah Yang Maha Esa. Maka adakah kita mahu mengatakan kita ini hanyalah ciptaan-Nya yang tiada guna? 

Jangan begitu. Istighfar.

Segala ciptaan-Nya tidak akan pernah sia-sia. Hanyasaja kita yang kurang merenung hikmah di sebalik setiap kejadian.


HADIS TENTANG SEDEKAH


Daripada Abu Zar RA, bahawa sekumpulan lelaki daripada sahabat Nabi SAW berkata kepada Baginda SAW: Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang yang berharta telah pergi membawa ganjaran (yang besar), mereka mendirikan solat seperti kami bersolat, dan mereka bersedekah dengan lebihan harta yang mereka miliki. Nabi SAW bersabda: "Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk kamu sedekahkan? Sesungguhnya bagi setiap satu tasbih adalah sedekah, setiap satu takbir adalah sedekah, setiap satu tahmid adalah sedekah, setiap satu tahlil adalah sedekah, mengajak kepada kebaikan adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan pada kemaluan setiap kamu juga adalah sedekah". Mereka berkata: Wahai Rasulullah, adakah apabila seseorang memenuhi syahwatnya, dia mendapat pahala? Baginda SAW bersabda: "Apakah pandanganmu, jika dia meletakkan syahwatnya pada yang haram, bukankah baginya dosa? Maka demikian juga, jika dia melepaskan syahwatnya pada yang halal, maka baginya pahala". (Riwayat Muslim)


Seperti yang disyarahkan dalam buku Hadis 40 Al-Nawawiyyah oleh pensyarah-pensyarah saya, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan sesiapapun daripada kalangan umatnya — baik lelaki baik perempuan, baik kaya baik miskin, semuanya berpeluang untuk melakukan sedekah.

Abu Zar RA (Jundub bin Junadah al-Ghifari) seperti yang diceritakan oleh Dr. Sanusi, beliau adalah seorang miskin tapi beliau sangat suka dan sangat seronok dalam melakukan kebaikan.

Seperti yang kita tahu, ada dalam kalangan sahabat-sahabat Baginda SAW, mereka bukanlah orang kaya. Sepertinya juga Abu Zar RA. Akan tetapi, semangat mereka untuk bersedekah adalah suatu sikap yang terpuji dan patut kita contohi. Lebih-lebih lagi jika kita ini orangnya harta bertimbun-timbun. Ibaratnya, harta yang tujuh keturunan tidak habis makan. Maka, sahabat-sahabat yang tidak berharta ini pun bersedih hati dan mengadukan hal tersebut kepada Baginda Rasulullah SAW. Maka jawabnya Baginda SAW adalah seperti yang dituliskan dalam hadis di atas.

Memang ada orang yang mungkin bersedih hati kerana tidak dapat melaksanakan ibadah sedekah. Memberi sedekah ini juga adalah salah satu daripada tanda kita bersyukur atas kurniaan-Nya.

Maka sabda Baginda SAW tadi adalah satu pemberitahuan kepada kita bahawa apa sahaja kebaikan yang kita lakukan adalah sedekah, untuk diri kita juga. Maka, berbahagialah dengan segala kebaikan yang kita lakukan. Setiap daripadanya adalah sedekah dan ada ganjarannya untuk kita. 

Antara hadis lain yang menceritakan tentang sedekah adalah:

"Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Setiap ruas dari anggota tubuh manusia ke atasnya sedekah bagi setiap hari yang terbit padanya matahari di mana kamu berlaku adil (mendamaikan) antara dua orang adalah sedekah, kamu membantu seorang lelaki menaiki tunggangannya atau kamu mengangkatkan barang-barangnya ke atas tunggangannya adalah sedekah, kalimah yang baik itu adalah sedekah, setiap langkah yang kamu langkah menuju ke masjid adalah sedekah, dan menghilangkan sesuatu  yang bahaya di jalanan adalah sedekah." (Meriwayatkannya al-Bukhari dan Muslim.)

Di sini saya kongsikan apa yang tertulis di dalam buku Falsafah Syaitan tulisan HAMKA (karya asal, Penuntun Jiwa):

"Jadi Allah memberi keluasan buat kita semua bernafkah.

Jika kita ahli akal, gunakanlah akal itu mencari rahsia alam. Kelak hasil daripada pencarian itu, nafkahkanlah ke hadapan umum, dermakanlah kepada perikemanusiaan.

Jika seorang berilmu, ajarkanlah ilmu yang berfaedah itu kepada orang yang patut diajar. Hanya harta yang kurang lantaran dinafkahkan, kurang pada pemandangan mata dan tertulis pada sisi Allah. Tetapi ilmu, ia tertulis pada sisi Allah, tertulis pada orang yang mengajarkan dan tertulis pula pada orang yang diajar. 

Jika sangat miskin...ah, Rasulullah telah menunjukkan jalan; dengan mengucapkan takbir, Allahuakbar! Dengan mengucapkan tahmid, alhamdulillah  Rabbulalamin.

Sudah bersedekah juga, untuk diri sendiri.

Jangan menyebut-nyebut miskin juga, sebab "Dialah Yang Kaya. Kita ini semuanya papa."


BILA ADA ANAK NANTI...

Pensyarah saya juga sempat berpesan, nanti jika sudah punya anak,  pastikan kita adalah orang pertama yang mengajarkan anak-anak kita tentang agama. Pastikan kita orang pertama yang mengajarkan surah al-Fatihah kepada mereka. Sebab surah ini akan kita semua ulang 17 kali dalam sehari, seumur hidup kita. Belum tambah lagi kalau dia buat solat sunat.

Seperti yang selalu diperingatkan kepada kita melalui satu hadis yang masyhur:

"Daripada Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda: Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang mendoakannya." (Riwayat Muslim)

Nah, sudah bagaikan tiga dalam satu. Tak susah pun untuk kita lakukan amal kebaikan. Selagi tulang empat kerat kita masih berkudrat untuk membuat amal ibadah, maka rebutlah peluang itu. Yang untungnya, diri kita. Yang sama-sama mendapat manfaat, orang lain di sekeliling kita. Kegembiraan begini yang harus dikongsi bersama.

Pun begitu, janganlah lupa untuk kita berdoa kepada Allah agar sentiasa diberikan kekuatan untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar. Kerana memang itupun apa yang patut kita perjuangkan sehingga ke hujung nafas kita. Semoga Allah mempermudah urusan kita untuk mengejar cinta dan redha-Nya. Aamiin!

Yang menulis,

T.

02/11/21















Comments