بسم الله الرحمن الرحيم
Hari ni, entry ni ditulis sebagai draf bagi sebuah assignment universiti sebenarnya. Rasa macam tak puas baca poin sikit-sikit, jadi kita cuba hurai semampu yang boleh.
Hari ni, refleksi dan inspirasi tercetus daripada pembacaan tafsir Surah al-Balad. Rujukan yang aku guna selalunya daripada laman sesawang Celik Tafsir (untuk mudah faham sebab laman sesawang tu dalam bahasa Melayu). Tapi, aku ada crosscheck dengan Tafsir Ibn Katsir dan juga Tafsir at-Tabari. Walau bagaimanapun, kalau ada poin aku yang salah, boleh tinggalkan komen untuk aku buat pembetulan in shaa Allah.
Okey, kita mula.
Selepas aku baca tafsir bagi surah ni, aku rasa yang Surah al-Balad ni cantik sebenarnya. Dalam surah ni, Allah ada sebut tentang kesusahan yang manusia akan hadapi (walaupun Allah dah bagi macam-macam perkara buat kita). Dan Allah ada sebut sekali tentang tanggungjawab kita terhadap kesusahan dan kehidupan kita iaitu pilihan yang perlu kita buat bagi menghadapi kesusahan dan kehidupan.
Kalau kita renungkan, Allah dah bagi macam-macam perkara untuk kita. Keupayaan kita melakukan sesuatu, penglihatan kita, bibir dan lidah yang menjadi medium untuk kita sampaikan sesuatu. Mata dan mulut ni sebenarnya antara nikmat yang sangat besar buat kita jika kita renungkan betul-betul.
Tengok ni Allah sebut dalam Surah al-Balad ayat 5, 8, dan 9:
Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)? (Al-Balad: ayat 5)
(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) (Al-Balad: 8)
Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? (Al-Balad: 9)
Oleh sebab itu, kita kena guna apa yang Allah bagi pada jalan yang betul.
Allah juga ada sebutkan pada awal Surah al-Balad yang Allah ciptakan manusia ni dengan keadaan manusia akan selalu berada dalam kesusahan. Itu berdasarkan kata-kata Ikrimah dan juga Qotadah dalam Tafsir Ibn Katsir (juz 8, muka surat 403).
Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya) (Al-Balad: ayat 4)
Dalam tafsir yang sama dan juga muka surat yang sama, Imam Ibn Katsir menulis, diriwayatkan daripada Tariq Ali Maudud, kesusahan yang disebutkan adalah berupa kesusahan daripada perkara-perkara dunia dan juga akhirat.
Tetapi Allah tak pernah tinggalkan kita sendirian menghadap kesusahan-kesuahan tu. Allah sudah berikan dan bagikan kita dua jalan.
Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? (Al-Balad: 10)
Sebab itulah, semua yang Allah berikan buat kita (keupayaan, mata, mulut) akan jadi sia-sia kalau kita tak gunakan akal kita sebaiknya, iaitu menggunakan akal dengan bimbingan Quran dan Sunnah. Sebab itu, kita kena sentiasa pilih jalan yang baik tu sebagai tanda kita mensyukuri nikmat Allah. Dengan cara memilih jalan yang baik ini, akan dapat melepaskan kita daripada kesusahan dunia dan akhirat.
Ibn Jarir at-Tabari ada menyebut dalam tafsirnya, Nabi SAW bersabda: manusia diberi dua jalan - baik dan buruk, lalu apakah yang menyebabkan jalan keburukan lebih disukai olehmu daripada jalan kebaikan? (Ini direkodkan dalam Tafsir Ibn Katsir, juz 8, muka surat 405).
Penerangan ini sedikit sebanyak memberitahu kita bahawa kalau kita lawan kesusahan dengan memilih jalan yang buruk, hasil di kemudiannya malah akan lebih merugikan kita. Cuba kita sama-sama fikirkan dan renungkan senario yang boleh jadi contoh kepada keadaan ini.
Sebagai tambahan, Surah al-Insan ayat 2 dan 3 juga ada menyebut tentang pilihan yang diberikan buat manusia.
Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (al-Insaan: ayat 2)
Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (al-Insaan: ayat 3)
Dalam ayat-ayat ini Allah menyebutkan bahawa Dia ciptakan kita yang manusia ni memang dengan tujuan untuk menguji kita. Dan disebabkan itulah Allah kurniakan kita penglihatan dan pendengaran, supaya kita dapat respon kepada ujian kita tadi. Kita perlu gabungkan keupayaan akal kita dengan mata dan telinga supaya kita dapat buat keputusan terbaik untuk setiap maklumat yang kita dapat.
Misalnya, kalau kita ditimpa penyakit, apa yang perlu kita buat? Bagaimana mata dan telinga kita patut respon kepada sakit kita tadi? Mungkin kita patut perhati betul-betul sakit yang kita rasakan dan fikirkan cara terbaik untuk merawatnya. Mungkin kita patut perhati dan kenalpasti perkara-perkara yang menyakitkan kita dan segera menjauhinya. Mungkin kita patut dengar cakap perawat kita tentang macam mana untuk menjaga anggota kita yang kesakitan. Mungkin kita patut dengar kata-kata perawat kita apa yang kita patut elakkan supaya tidak terjebak dalam kesakitan yang sama sekali lagi.
Dan bukannya hijack diri kita ke arah kesakitan itu lagi sekali lalu mengatakan "Allah tak sayang aku sebab tu Dia bagi aku sakit macam ni" sedangkan kita yang lempar diri sendiri dalam kebinasaan.
Disebabkan Allah sayang kita, Allah uji kita. Dan tanggungjawab kita adalah pilihan kita tentang macam mana kita nak respon terhadap ujian Allah. Semuanya dengan menggunakan apa yang Allah dah bagi pada kita.
Kalau kita pilih jalan yang baik untuk merespon ujian Allah, in shaa Allah kesembuhan yang Allah akan hadiahkan buat kita. Dan kalau kita pilih jalan yang sebaliknya, bersiap sedialah untuk anggota kita menjawab di sana. Itu semua pilihan kita. Bukan paksaan daripada Allah.
Sekian, entry kali ni. Semoga bermanfaat buat semua, dan menjadi peringatan, terutamanya buat orang yang menulis entry ni.
@thesealedlips
12.1737H.10.23
Comments
Post a Comment