بسم الله الرحمن الرحيم
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللهِ
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110)
Setiap penulisan ada tujuan dia. Begitu juga dengan entry blog kali ini. Entry kali ini saya tuliskan sebagai respon terhadap isu yang sedang tular membaluti acara Selangor International Book Fair 2023. Saya rasa saya perlu respon isu ini kerana minat saya terhadap bidang penulisan dan juga cinta saya dalam cubaan memahami ayat-ayat Quran dan juga hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Walaupun isu yang sama sering saja diputar setiap kali apa saja acara buku berlangsung, isu ini bahkan seperti tidak bertemu jalan penyelesaian. Isu ini seperti satu masalah yang tidak berpenghujung. Dan pada hemat dan pandangan peribadi saya sendiri, isu ini tidak akan pernah selesai dengan aman.
Penulis menulis kerana ada sesuatu yang ingin dia sampaikan. Itu merupakan sebab utama seseorang itu menulis. Dia ada idea yang ingin dikongsi, dia ada pandangan tentang kehidupan yang mahu diperdengarkan kepada orang ramai, dan dia mahu berkongsi sesuatu yang mungkin selama ini susah untuk dia kongsikan secara terus bersama dengan orang-orang yang telah dia kenali secara peribadi.
Membawa orang mengenali sesuatu yang dia tidak tahu itu suatu pekerjaan yang mulia. Ia ibarat membuka jalan baru menuju ilmu pengetahuan yang mana ilmu itu sendiri hadir dalam pelbagai bentuk. Menulis juga merupakan satu bentuk proses pembelajaran dalam menuntut ilmu pengetahuan. Untuk penulis dan juga untuk pembaca.
Walau bagaimanapun, tidak mudah untuk menghasilkan sebuah penulisan yang mampu dimanfaatkan segenap lapisan usia. Oleh kerana itu, saya ingin kongsikan tentang konsep Khayra Ummah yang saya pelajari dalam sebuah bengkel penulisan cerpen. Konsep ini sangat penting untuk dihadam dan dipraktik oleh seorang penulis. Konsep ini akan membantu membentuk penulisan yang baik dan mampu dimanfaatkan masyarakat sebaiknya.
Ada tiga perkara yang dititikberatkan di dalam konsep Khayra Ummah ini. Boleh rujuk keratan Surah Ali-Imran ayat 110 yang saya sediakan di awal penulisan tadi. Intipati yang dititikberatkan:
1. Menyeru dan menyuruh ke arah kebaikan
2. Mencegah segala jenis keburukan dan perbuatan keji
3. Beriman kepada Allah
Ayat di atas secara umumnya diturunkan kepada kita (umat Islam), kerana Quran ini diturunkan sememangnya untuk menjadi panduan hidup kita. Oleh itu, memang menjadi tugas kita yang bergelar Muslim dan Muslimah ini untuk berpegang kuat dengan mesej penting dalam ayat tersebut dan mempraktikkannya dengan sebaiknya.
Walau bagaimanapun, sebagai ilmu tambahan, ayat di atas juga diturunkan untuk memberitahu kita tentang umat terbaik yang pernah dilahirkan adalah daripada kalangan mereka yang hidup di zaman Rasulullah SAW, yang hidup semasa zaman para sahabat radiyalllahu 'anhum dan juga yang hidup semasa zaman para tabi'in radiyallahu 'anhum ajma'in.
Mereka (para sahabat radiyallahu 'anhum) hidup dengan Nabi Muhammad SAW, mereka mendengarkan ayat Quran dan hadis terus daripada mulut Baginda SAW sendiri. Jadi, sudah tentulah mereka memahami konteks ayat Quran dan hadis jauh lebih baik daripada kita semua, kerana mereka hidup sezaman dengan Nabi SAW.
Benar, kita takkan mampu untuk menjadi seperti sahabat-sahabat radiyallahu anhum. Tetapi nilai yang mereka tinggalkan buat kita itu yang patut kita contohi. Menyeru ke arah kebaikan, mencegah segala kemungkaran, dan beriman kepada Allah SWT. Oleh kerana itulah, kita ini digelar umat terbaik seperti yang tertulis dalam ayat Quran tersebut.
Sebagai seorang manusia umumnya, dan sebagai seorang penulis khususnya, kita perlu berpegang teguh kepada tiga poin yang disebutkan tadi. Penulisan adalah antara medium dakwah yang berkesan. Melalui penulisan, para pembaca dapat merenungi setiap baris ayat yang telah ditintakan oleh seorang penulis. Melalui penulisan, penulis dan pembaca sama-sama dapat merenungi setiap hikmah atas segala kejadian yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Disebabkan itu, penulis perlu lebih berhati-hati ketika menyampaikan mesej dalam penulisannya.
Menulis Ayat Quran atau Hadis di Dalam Cerita
Gaya penceritaan dipilih oleh seorang penulis untuk memberi gambaran yang mudah difahami untuk seseorang pembaca memahami makna ayat Quran atau petikan hadis yang dipilih. Pun begitu, seorang penulis mesti MEMAHAMI konteks ayat Quran atau hadis yang dipilih terlebih dahulu. Seorang penulis tidak boleh sesuka hati mengisi lompong cerita yang ditulis dengan ayat Quran atau hadis tanpa sebarang penilaian terlebih dahulu. Nasihat dan saranan daripada orang-orang yang penulis tahu dan yakin memang arif dan juga amanah dengan ilmu Quran dan hadis perlu dipraktikkan. Sekurang-kurangnya tentang pengajaran di sebalik ayat Quran atau hadis yang dipilih.
Memasukkan ayat Quran atau hadis ke dalam penulisan merupakan sesuatu yang patut dipuji. Pembaca secara tak langsung boleh memahami bahawa penulisan tersebut sebenarnya secara halus mengajak orang ramai yang membacanya untuk merenungi dan mengikuti nilai-nilai murni yang diajarkan agama Islam yang suci ini. Al-Quran dan hadis sememangnya diturunkan sebagai panduan dalam segala aspek kehidupan kita. Oleh kerana itu, penulis perlu memahami dengan sebaiknya konteks ayat tersebut. Penulis perlu tanyakan pada diri terlebih dahulu:
1. ayat Quran atau hadis ini tentang apa?
2. sesuai atau tidak untuk diselitkan di dalam cerita saya?
3. adakah ayat Quran atau hadis ini sesuai dengan cerita yang saya bawakan?
4. kalau saya SALAH dalam menyampaikan naratif tentang ayat Quran atau hadis ini, bagaimana saya ingin betulkan?
Poin keempat itu sangatlah penting buat penulis. Apa yang kita tuliskan dan sampaikan kepada masyarakat, akan kekal sampai kepada hari segala amal kita dihisab. Jika setelah penulisan kita diterbitkan ternyata ada kesalahan pada menyampaikan mesej ayat Quran dan hadis yang dipilih, lalu bagaimana kita ingin betulkan kesalahan tersebut sedangkan penulisan kita telah diterbitkan? Risau sekiranya penulisan itu sudah mencapai jumlah pembaca yang banyak dan mengelirukan para pembaca.
Ingat, agama ini bukan untuk dijual beli demi perkara keduniaan.
Menulis Karya Islami
Kelahiran penulis baru yang semakin ramai juga wajar dipuji. Ini bermakna semakin bertambah idea baru yang ingin disampaikan dalam bentuk penulisan. Ada juga penulis yang cuba memasukkan ayat Quran atau hadis ke dalam karya mereka. Kita puji semangat saling berpesan ke arah kebaikan sebegini. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan penulisan ayat Quran atau hadis di dalam cerita bukanlah sekadar hiasan untuk cerita. Tidak boleh dimasukkan ayat-ayat suci ini sekadar untuk menutup sesuatu babak yang tidak senonoh yang ingin diperlihatkan sebagai sebuah pengajaran. Perkara haq dan batil itu tidak akan pernah bersatu malah akan terlihat pincang jika cuba disatukan. Jika benar ingin dimasukkan juga ayat Quran atau hadis pada cerita, perlu dilakukan dengan cara yang betul.
Oleh itu, untuk yang mahu menulis dan menghasilkan karya yang mengandungi ayat Quran dan hadis, mungkin boleh mengikuti jejak langkah penulis yang karyanya ada terselit vibe Islami seperti Hamka, Habiburrahman El-Shirazi, Hilal Asyraf, Ustazah Fatimah Syarha, Hlovate, Teme, Leena Syiha, Nur Izzah Hani, Yaya Samad, dan mungkin ada beberapa penulis karya Islami lain yang saya tidak sebutkan di sini. Perhatikan bagaimana ayat suci yang penulis-penulis ini pilih disesuaikan dalam cerita mereka. Bagaimana cara olahan ayat tersebut? Adakah melarikan makna ayat Quran atau hadis yang dipilih? Tidak beramanah dengan ilmu adalah perkara yang tak sepatutnya dilakukan oleh seorang penulis.
Akhir kata, semoga para penulis lebih berhati-hati dalam memilih ayat Quran atau hadis untuk dimasukkan ke dalam penulisan masing-masing. Dapatkan nasihat atau komen daripada mereka yang arif terlebih dahulu. Semoga Allah merahmati dan memberkati setiap dakwah penulisan yang dihasilkan oleh sekalian penulis. Teruskan menulis demi membangun ummah yang sejahtera fikrah dan rohaninya.
Thea,
@thesealedlips / 07.2100H.12.23
Revamp on 17.1127H.12.23
Comments
Post a Comment