Bintang Ana

P/s: best to read sambil dengar lagu Bintang - Hael Husaini

Trigger Warning: untuk mereka yang pernah rasa sakit dibuang dan terbuang

***

Bayu malam berpuput lembut, mengusap wajah polosnya. Juntaian rambut yang degil terurai daripada ikatan getah rambut menari-nari di tepi telinga. Pun begitu, ia tidak menghalang aktiviti gadis berumur 17 tahun yang ralit mengira butir berlian di dada langit.

Langit malam yang hitam pekat menjadi jamahan matanya malam ini. Seperti malam-malam sebelum ini, anak mata bening itu pasti mencari bintang yang paling bersinar di antara jutaan taburan ciptaan Tuhan yang satu itu. Aktiviti kegemaran semenjak dua tahun yang lepas.

"Mana yang paling bersinar ya? Kenapa malam ni macam susah nak nampak? Nak hujan ke?" Bibir menggumam perlahan. Matanya bergerak-gerak sendiri. Ke kanan dan ke kiri. Mencari-cari perkara yang diinginkan oleh hati.

Gadis itu cuma memerhati daripada birai katil yang didudukinya. Tak puas hati, duduknya dibangunkan sebelum melangkah ke luar. Mundar-mandir di balkoni sambil memeluk tubuh.

Bibir diketap. Pandangan anak matanya yang tajam tadi mulai mengendur pandangannya. Apatah lagi setelah air suam mula memenuhi birai mata. Tangan yang memeluk tubuh berganti dengan menggenggam erat pemegang besi penghadang di balkoni.

"Jumpa..." bibirnya menutur perlahan. Ketapan mulai hilang sebelum diganti dengan sebik menahan tangis.

"Cik Su..." panggilnya. Tidak tahu, kepada siapa panggilan itu harus diberikan sebenarnya?

"Cik Su..."

Gadis itu memanggil lagi. Cengkaman pada besi penghadang itu semakin dieratkan. Sejuk besi balkoni bergabung dengan sejuk jemari sendiri. Rasa macam ada kawat duri mencekik leher.

Kepala terdongak ke atas, cuba menahan air mata daripada luruh. Tapi lumrah menahan air mata agaknya, semakin ditahan, semakin degil nak jatuh menggores pipi pemiliknya.

Akhirnya, dibiar juga air mata mengalir. Membasuh luka rindu di hati. Luka yang takkan pernah mampu dirawat.

"Cik Su... Ana... Ana rindu..." lirih suara dengan sedu sendu mengungkap kata itu.

"Kenapa Cik Su pergi awal sangat? Ana tak ada siapa-siapa kat sini. Kenapa Cik Su taknak teman Ana dah?"

Badan melorot jatuh menyembah lantai balkoni.

"Kenapa Cik Su? Ana susahkan Cik Su ke?" kepala tertunduk-tunduk ke lantai. Badan sudah terhinggut-hinggut mengiringi tangisannya.

"Dulu ibu dengan ayah cakap Ana selalu susahkan dia orang, sebab tu dia orang letak Ana dekat sini. Dekat rumah anak-anak terbuang ni. Lepas tu, Cik Su orang pertama yang dekat dengan Ana."

Tersedu-sedu gadis itu menyambung luahan. Sakit sangat rasanya. Tangan kanan terus naik ke tempat di mana terletak sebuah perasaan. Dicengkam bahagian itu.

"Dulu... Cik Su cakap, Cik Su akan selalu dengar Ana. Cik Su cakap, Cik Su takkan pergi mana-mana. Tapi... tapi kenapa Cik Su pergi juga tinggalkan Ana?"

Kali ini, gadis itu terus meraung. Tidak peduli lagi kalau-kalau penghuni rumah yang lain terdengar tangisannya. Dibiar tangisannya berlagu dulu. Setelah sedikit reda, Ana, si gadis malang itu menyambung lagi.

"Cik Su, hari Ana buruk sangat hari ni. Ana nak meluah tapi tak tahu dekat siapa? Selalunya Ana akan cari Cik Su. Cik Su tahu tak, hari ni budak-budak sekolah koyakkan buku Ana? Buku nota pertama Ana yang Cik Su hadiahkan. Buku yang ada doa-doa yang Cik Su ajar dekat Ana. Ana nak doa macam mana lagi lepas ni, Cik Su?"

Tangan naik menyapu kasar air mata di wajah. Habis melekit tapi tak diendahkannya. Ana cuma nak meluah.

"Dia orang koyak buku tu, tapi Ana rasa macam hati Ana kena carik sekali Cik Su. Cik Su, kenapa dia orang buat Ana macam ni?"

Tangisan cuba ditahan lagi. Lemahnya Ana rasa malam ini.

Ana pejam mata. Terbayang-bayang waktu kali pertama dia tiba di Rumah Kaseh. Suria, yang ketika itu merupakan seorang gadis berusia awal 20-an, merapati dirinya yang ketika itu sedang berseorangan di atas buaian di halaman rumah ini dengan perlahan-lahan. Ana waktu itu baru saja ditinggalkan di rumah ini, di rumah anak-anak yang ketandusan kasih sayang ibu bapa sendiri mengemis perhatian orang yang sudi menyayangi mereka.

Ana ingat lagi, Suria, yang dia panggil sebagai Cik Su, anak buah Bonda Rahmah, pemilik Rumah Kaseh itu mengumpannya dengan sebuah novel remaja. Ana yang ketika itu baru berusia 15 tahun cuma memandang sepi novel Anggerik Ungu yang diletakkan Cik Su ke atas ribanya. Suria yang galak bercerita di sebelah dibuat bagai angin lalu. Ana masih bersedih ketika itu. Menangisi nasib diri dalam kediaman.

Dan malam itu, malam pertama di Rumah Kaseh, Ana menangis bersungguh-sungguh dengan Anggerik Ungu di tangan. Bahagian aktiviti kapal karam di dalam novel itu menjadi pencetus linangan air matanya. 

Mungkin itu niat Cik Su bagi dia novel itu. Cik Su mahu Ana lepaskan rasa sedih yang sudah pasti sedang beraja di hatinya. Novel itu, cuma alat bantuan saja. Kadang kita rasa sedih, nak menangis, tapi tak boleh. Jadi, kita cari cerita sedih, lagu sedih, atau apa-apa yang menyedihkan untuk membantu kita menangis. Sekadar menjadi perencah hidup sendiri yang sudah sarat dengan kesedihan.

Dan malam itu, permulaan Ana dan Suria menjadi rapat. Segalanya, Ana kongsikan dengan Cik Su. Kadang Cik Su jadi kakak, kadang Cik Su jadi bonda, kadang Cik Su jadi kawan. Apa-apa sisi Cik Su, sangat mententeramkan Ana.

"Cik Su... kalau Ana panggil lagi sekali, Cik Su akan jawab tak?"

Ana rasa kewarasannya bagai ditarik sedikit demi sedikit. Mungkin kerana rindu yang sedikit menggila malam itu. Dalam ketundukan, gadis itu cuba memanggil lagi...

"Cik Su..."

"Ana."

Sedu-sedan terus terhenti.

"Cik Su..." Ana memanggil sekali lagi. Sekadar untuk memastikan bahawa dirinya tidak berhalusinasi.

"Ana."

Jawab suara yang sama. Ana masih tidak berani untuk mengangkat kepalanya. Tidak sehingga bahunya yang jatuh itu dipeluk daripada sisi...

Terus Ana dicengkam rasa seram sejuk.

"Ana, kenapa macam ni?" Soalan itu menyentak ruang pendengarannya.

Dan juga hatinya.

Sedikit sebanyak, Ana rasa lega.

Perlahan-lahan, Ana menangkup tapak tangannya pada tangan yang memeluk dirinya.

"Bonda..."

"Kenapa... Ana macam ni?" lirih Bonda Rahmah menyoal.

"Ana... rindu Cik Su. Rindu sangat. Ana sakit hari ni, bonda. Tapi Cik Su dah tak ada untuk Ana meluah..." Birai mata Ana bertakung air suam lagi.

"Bonda kan ada?"

Ana palingkan wajah pada Bonda Rahmah yang sudah setia menyambut pandangannya daripada awal.

"Bonda kan ada?" Ulang Bonda Rahmah lagi. Dengan anggukan kepala.

Bergerak-gerak mata Ana dengan bening air mata menilik wajah Bonda Rahmah. Apabila wanita berusia 50-an itu membuka kedua-dua lengannya, Ana tanpa segan silu terus masuk ke dalam pelukan wanita itu. Tangisannya dilabuhkan di situ.

"Kalau Ana rindu Cik Su, Ana ceritalah dekat bonda. Bonda kan ada?" Bonda Rahmah mengusap sayang rambut ikal Ana.

"Tapi bonda sibuk dengan adik-adik," Ana menjawab dalam tangisan. Dengar tak dengar saja suaranya.

"Mana ada ibu yang terlalu sibuk untuk anaknya?" Itu yang dibalas Bonda Rahmah.

"Tapi ibu Ana dulu..."

Tak sempat Ana nak habiskan kata-katanya, Bonda Rahmah lepaskan pelukan mereka. Wajah Ana yang basah kembali dengan air mata dibersihkannya.

"Ana tahu bonda macam mana kan?" Mata anak angkatnya itu Bonda Rahmah tentang bersungguh. Seakan menghulur sebuah jaminan untuk Ana. Jaminan bahawa dia akan ada untuk setiap duka Ana.

Dulu, itu tugas Suria. Arwah anak buahnya yang membuat part-time sebagai caretaker di rumah asuhan miliknya itu. Bonda Rahmah sendiri menjadi saksi keakraban Ana dan Suria.

"Cik Su, bintang Ana."

"Bintang? Kenapa bintang?"

"Sebab nama Cik Su, Suria. Suria tu nama lain bagi matahari. Matahari tu bintang terbesar dekat dunia ni. Ana rasa hidup Ana semakin berseri lepas kenal Cik Su. Cik Su baik, layan Ana elok-elok." Ana tersenyum menjelaskan.

"Tapi Ana, suatu hari nantikan, bintang pun akan hilang sinarnya."

Dan ternyata, kata-kata Suria ketika itu menyirnakan senyuman seorang Ana.

Bonda Rahmah yang ketika itu kebetulan sedang mengintip perbualan dua anak dara itu sendiri tergamam dengan kata-kata Suria. Apatah lagi Ana yang mendengarkan depan-depan ucapan itu ke wajahnya.

Cumanya, mujur Suria pandai mengambil kembali hati Ana. Mereka kembali meluang masa bersama sepanjang Suria berada di Rumah Kaseh. Apabila Suria sudah kembali berkuliah, arwah anak buahnya itu tetap akan mencuri masa untuk singgah ke Rumah Kaseh. Sudah berjanji dengan Ana katanya. Bonda Rahmah perasan, Ana akan lebih ceria apabila bintangnya ada bersama.

Dan sehinggalah hari itu tiba. Hari bintang Ana kehilangan sinarnya. Tuhan tarik sinar bintang terunggul Ana. Bintang Ana hilang. Hilang macam debu berterbangan. Tak akan berjumpa lagi.

Dan sejak hari itu, Ana akan menatap langit malam. Mencari bintang yang paling bersinar di dada langit ketika itu. Ana kata, itu Cik Su. Ada masa Ana akan bercakap-cakap sendiri sambil menatap bintang yang paling bersinar. Itu, cara dia lunaskan rindu pada arwah Suria.

"Kan Cik Su dah ajar, kalau rindu, bacakan al-Fatihah?" Bonda Rahmah mengelus lembut pipi Ana.

"Dah baca, tapi tadi Ana rindu sangat. Sakit. Tak tahan. Sebab tu Ana menangis." Ana luahkan pula kepada Bonda Rahmah.

"Bonda dengar. Mana bukunya? Bonda nak tengok boleh?" Lembut wanita tua itu meminta izin.

Tak menunggu banyak masa, Ana terus bangun menuju ke beg sekolahnya. Buku yang sudah terkoyak itu diambil dan dibawa kepada Bonda Rahmah.

"Ambilkan bonda gunting dengan salotape."

Ana sekadar menurut. Dua bahan itu diambil, dan diberikan juga kepada Bonda Rahmah. Setelah itu, dia duduk berhadapan bonda. Memerhatikan bonda yang cuba 'menyelamatkan' buku nota kesayangannya.

Bonda Rahmah tersenyum sendiri melihat hasilnya. Setiap helaian diselak-selak. Jelas tercetak tulisan arwah Suria yang kemas cantik di situ. Macam yang Ana cerita dalam luahan sedu-sedannya tadi. Ada beberapa doa yang arwah Suria telah tuliskan di situ. Ada juga ternampak lukisan rambang Ana di dalam buku nota itu.

Buku nota kemudiannya dihulurkan kepada Ana.

"Nah. Bonda dah cuba baiki. Tapi maaflah, tak sama macam yang asal."

Ana tidak menyambut huluran itu. Malah, tubuh tua Bonda Rahmah pula menjadi mangsa pelukan mengejutnya.

"Terima kasih, bonda. Ana hargai usaha bonda. Bonda jangan tinggal Ana, ya? Jadi bintang Ana juga, boleh?" Permintaan yang penuh harapan.

Tapi Bonda Rahmah tahu, dia tak boleh menyambut permintaan itu. Nanti dia buat janji palsu. Sudahnya, Bonda Rahmah balas sepi saja pelukan Ana.

Dan Ana faham maksud itu. Ana pejam erat matanya. Ana tak boleh mengharap lebih.

Siapapun yang menjadi bintang Ana, Ana perlu sentiasa bersedia untuk kehilangan bintangnya.

Bintang Ana, walaupun hilang berkecai bagai debu jasadnya, ruhnya tetap akan sentiasa hidup di jiwa seorang Ana.

@thesealedlips
26.2353H.02.24

Comments