Q & Am #Part3: Future

Pintu berwarna krim itu ditolak perlahan sebelum badan dibawa masuk bersama-sama dengan beg kertas yang sedari tadi dipegang bersamanya. Langkah kakinya cuba digerak sebaik mungkin tanpa bunyi. Cuba untuk tidak mengganggu ketenteraman penghuni bilik itu. Dah macam berlatih nak masuk saringan pasukan khas tentera!

Kakinya dibawa ke arah katil wad dengan sebatang tubuh yang tertidur pulas di atasnya. Figura yang lena tertidur macam anak kucing itu diperhatikan. Dengan cermin mata yang masih tersarung di wajah. Ada ke tidur sambil pakai cermin mata? Buatnya tak perasan tertindih benda alah itu, dah jadi satu hal kena beli baru.

Apa-apa pun, sebelum penghuni katil itu terjaga, baik gadis itu segerakan misinya.

Beg silangnya diselongkar sebelum telefon pintarnya diambil. Aplikasi kamera dibuka. Sesekali matanya mengerling manusia yang selamat menjadi tetamu hospital itu. Bukan apa. Takut terjaga sebelum gadis itu sempat sudahkan misinya. Kamera dihalakan pada jasad di hadapannya. Adalah dalam dua tiga klik sebelum gambar-gambar itu dilihat semula sambil menahan bunyi gelak yang hampir-hampir terletus.

Telefon kembali disimpan. Penghuni katil wad itu semakin didekatinya. Gadis itu sengaja menghayun tangannya di hadapan wajah pesakit. Baru terfikir nak pastikan yang pesakit itu betul-betul tidur.

"Kau cuba buat apa tu Q?"

Suara serak basah itu mematikan gerakan tangannya. Gadis itu cuma memerhati si pesakit yang sudah mula membuka mata. Sepet. Memang nampak macam baru bangun tidur.

"Hola, Am!" tegur Q macam dia baru mendarat dari Milan.

"Macam mana kau tahu aku yang datang?"

"Your scent. Lepastu kau nak pedajal orang pun tak bijak. Lain kali tutup dulu bunyi shutter kamera tu."

"Oh ya eh?" Q gelak tak bersalah.

"Kau nak buat apa tadi?"

"Oh aku ingatkan nak tekup muka kau pakai bantal tadi," ujar Q selamba.

Amsyar cuma jongket kening. Bantal yang menjadi alas kepalanya tadi dibawa ke hadapan badan sebelum diberi kepada Q. Gadis itu pula yang berkerut pelik.

"Kata nak tekup muka aku tadi," Amsyar menyinis.

Q tanpa apa-apa terus menyambut bantal itu sebelum ditekup ke muka Amsyar.

"Wei! Aku ingat kau main-main!" gigih Amsyar menolak tekupan itu. Sudahlah dia sedang tidak sihat.

"Tulah kau. Ingat Qalisya Umairah main-main ke?" Q tarik semula bantal itu. Tak mahulah dia muda-muda lagi ada rekod jenayah.

"Bila lagi kau sampai sini?"

"Semalam. Tapi hampir lewat petang jugalah. Itu yang aku baru sempat melawat kau hari ni. Maaf Am aku tak ada masa kau susah."

"Lah... apa pula macam tu?"

"Yalah, sebelum ni kalau apa-apa jadi kat aku, kalau aku nak apa-apa ke, kau selalu ada je nak layan nak tenangkan aku. Tapi masa kau kena musibah macam ni, kau dah nak dischargelah baru aku dapat tahu. Aku rasa... aku rasa tak bestlah," luah Q. Gadis ini nampak saja macam brutal kadang tu. Tapi dah namanya pun perempuan. Jiwa yang lembut dengan perempuan itu berpisah tiada.

"Lahhh... tak ada apalah."

"Tetap aku rasa bersalah, Am. Masa aku susah, kau selalu ada. Tapi time kau susah? Aku riang-ria berkhemah kat dalam hutan tu."

"It's not a big deal pun. Itu maksudnya, bukan kau insan yang Tuhan hantar untuk tolong aku. Despite kau kata aku dah buat macam-macam untuk kau. Kita kena belajar untuk fahamlah macam mana takdir bekerja."

Q tayang muka sepuluh sen. Matanya sengaja dibulatkan sambil matanya sedang elok berkaca.

"Dah kenapa buat muka macam tu?" tegur Amsyar.

"Sorryyyyyy," kata maaf ditarik enam harkat. Ingatkan nak tarik sampai 12 tadi tapi tak apalah. Nanti Q pula masuk wad sebelah.

"Lagi sekali kau cakap sorry, aku hantar rombongan meminang!" Amsyar sengaja cerunkan matanya. Suara pun acah-acah tegas.

Tapi mengenali Qalisya Umairah...

"Okay, sorry!" ujar Q dengan nada seronok dan mata berbintang teruja.

Amsyar tak dapat tahan diri daripada tergelak.

"Of course, Q. Kita sama-sama share one brain cell, ain't we?" Amsyar geleng kepala.

Q angkat kening mengusik.

"How was the trip? Healing tak?" soal Amsyar.

"Hmmmm. Tak best. Penat. Aku kena buli tau buat itu ini. Trip dengan along, Kak Auji, dengan kau juga yang best," bahu Q jatuh masa bercerita.

"Memanglah trip dengan kita orang yang best. Dah kau yang buli kita orang," Amsyar guling biji mata ke atas.

Menyampah kadang-kadang cakap dengan Q ni. Tengok tu... dia boleh gelak saja?

"Alaaa, aku kan paling muda. Orang tua kena jaga orang muda," giat Q reka jawapan.

Yalah, Q... yalah.

Sunyi. Amsyar tengok Q. Q tengok Amsyar. Kekok tiba-tiba rasanya.

"What is it? Tell me," kata Amsyar, tiba-tiba.

Yeah, Muhammad Amsyar and his extraordinary sense.

"How do I tell you, eh?" Q garu kepala. Kebetulan pula gatal. Sebab ikat rambut ketat sangat kut.

"Maaflah kan kau tengah-tengah sakit ni aku ajak perah otak. Tapi takpe office pakar neurologi dekat je dengan wad kau."

Amsyar bulat mata dengar kata-kata Q. Memang meminta sakit dia naik satu level lagi ke apa?

"Tak adalah. Aku macam, entah kadang-kadang aku tak tahu tujuan hidup aku. Masa trip hari tu ada satu slot santai-santai. Santailah sangat. Tapi dia punya soalan buat aku insomnia satu malam lepas balik trip."

"Kau tidur tak malam tadi?" Amsyar kerisauan.

Hanya gelengan Q menjawab soalan Amsyar. Padanlah muka tu sikit je lagi nak jadi sepupu beruang panda. Lebam sedikit mata Q. Wajah pun tak berapa nak berseri sangat.

"Balik ni tidur okey?" Amsyar mengingatkan dengan lembut. Gadis itu cuma mengangguk.

Amsyar tahu Q memang bukan jenis jaga tidur pun. Program yang diambil Q memang buat jadual tidur seorang Qalisya Umairah tunggang terbalik. Kadang tu, siang jadi malam dan malam jadi siang. Amsyar dah sampai tahap reda kalau tiba-tiba dapat panggilan jam 3 ke 4 pagi daripada Q. Tahulah yang budak tu tengah migrain sebab perah otak satu malam tak berhenti.

"So, what's the question?"

"Panel tu tanya, awak nak jadi apa in future? Awak nak buat apa in future?"

Q tenung luar tingkap bilik wad Amsyar. Soalan mudah saja sebenarnya. Tak tahulah kalau soalan tu terlalu metafizik atau apa, tetapi sampai sekarang neuron otak Q berjalan-jalan mencari jawapan.

"So what do you want to do? Who do you want to be?"

"Hmm..." Q memeluk tubuh sambil bersandar pada kerusi pelawat.

"Aku tak ada jawapan tentang aku nak jadi apa sebenarnya. Aku pernah bagitahu kau kan, masa kita mula-mula kenal dulu? Aku ambil course ni sebab ni minat aku cuma I don't have any clue about who I want to be actually? Entah. I don't have any specific answer for that."

Amsyar mengangguk. Faham apa yang Q tengah lalui. Bukan sebab dia pernah merasai. Tapi dah banyak remaja yang dia jumpa semasa berprogram ke sana sini, yang fi'ilnya sama macam Q. 

Fasa yang sangat normal untuk seseorang yang reserved macam Qalisya Umairah. Membesar dengan tak boleh buat itu ini walaupun boleh pilih sendiri nak belajar apa. Tapi sebenarnya macam tak membantu sangat. The personality and skills are not well developed. Ada lompong di banyak tempat. Jati diri yang tak kuat. Lebih kurang macam...

Lost in the middle.

Mungkin sebab kurang bimbingan. Entahlah.

"Tapi aku tahu apa benda yang aku nak buat," senyuman naik di bibir Q.

"Spill."

Mendengarkan itu, senyuman Qalisya Umairah semakin melebar. Mata berbintang teruja.

"Ada banyak benda atau aktiviti yang aku nak buat sebenarnya di masa depan. Aku teringin nak buat island hopping. Tak pun jalan-jalan dekat semua pantai yang ada kat Malaysia ni pun seronok juga. Lepas tu, aku nak cuba panjat gunung dan akhiri sesi tu dengan duduk tenang-tenang depan air terjun. Aku teringin cuba aktiviti lasak tapi mengenangkan aku ni tak aktif, aku rasa hasrat yang tu aku kena benam jelah. Sebab aku nak orang yang boleh tunggu aku dan buat aktiviti tu sama-sama dengan aku. Tapi macam susah je nak cari orang yang sanggup tunggu aku untuk benda-benda macam ni. Lagi, aku teringin nak tengok lukisan aku ada dekat galeri seni."

"That's all? Ada lagi?" Amsyar masih setia nak mendengar.

"Hmm, itu jelah kut? Takpe benda lain boleh fikir nanti," Q tersengih-sengih sendiri. Seronok ada orang melayan berangan dia.

"Tiba-tiba rasa macam seronok je kan kalau ada lifetime halal partner?" Q lontar soalan luar alam. Tubuhnya santai duduk dan bersandar di kerusi pelawat.

"Buang tabiat eh?" Amsyar tersengih kecil. Kepala dipaling sekejap ke luar tingkap sebelum satu senyuman manis yang hanya dia mampu tafsir terukir di bibirnya.

"Yelah, aku boleh buat macam-macam aktiviti yang aku dah plan tu dengan dia. Yang penting tak ada barrier. Tak ada rasa kena judge. Entahlah. Aku rasa bila buat dengan partner, dia macam lebih rasa jadi diri sendiri. I am not faking myself. Kalau dengan keluarga atau dengan kawan, rasa macam kena tutup diri sikit-sikit. Tak boleh nak jadi diri sendiri sangat. Mungkin sebab tu kut aku tak tahu nak jadi apa."

Macam tak ada kaitan je? Bahu Q jungkit selamba. Dan tiba-tiba gadis itu ketawa sendiri.

"Kau okey tak ni?" risau Amsyar dibuatnya. Manalah tahu otak Q terjatuh di mana-mana sebab tak cukup tidur. Dahlah baru keluar hutan. Rasa risau Amsyar naik satu tingkat jadinya.

"Taklah, aku rasa kelakar. Apasal aku bagitahu kau semua ni eh?" Q masih ketawa kecil. Kepala digeleng-geleng perlahan. Buat malu dekat Amsyar jelah!

"Anyway, I bought you this!" Q tukar topik. Tangannya meletakkan satu beg kertas di atas riba Amsyar yang masih berbalut selimut hospital.

Beg kertas warna coklat dengan inisial logo M berwarna merah itu membuatkan Amsyar tambah teruja. Dia yakin isinya juga bakal buat dia semakin gembira. Akhirnya, dapat makan benda lain selain makanan hospital! Drama je Amsyar ni. Padahal baru kena tahan dua hari.

Beg kertas dibuka dengan bibir yang masih tersenyum sebelum senyuman itu perlahan-lahan mulai sirna. Wajah diangkat sebelum mata mencerun pada Q yang senyum tak bersalah tu.

"Q! Tak baiklah!"

Terus Q bantai gelak.

"Eh, bubur aku buat lagi sedap tau. Kedai punya banyak perasa. Tak elok untuk kau yang tengah tak sihat ni," Q rampas kembali beg kertas tadi. Bekas bubur itu dibawa keluar. Dan ada dua bekas lagi berisi lauk untuk bubur kosong itu.

Satu per satu penutup bekas dibukanya.

"Tengok ni aku buat tempe kicap yang kau suka tu. Dengan kangkung tumis. Makan dengan bubur ni kan sedap?"

Q isikan bubur kosong tadi dengan lauk-pauk yang dibawanya. Sudu yang terselit di dalam beg kertas tadi dikeluarkan. Bekas bubur dan sudu dihulurkan buat Amsyar yang masih cemberut wajahnya selepas terkena dengan Q.

"Tak baik tau bagi orang harapan," Amsyar bernada rajuk.

Merajuk-merajuk pun, tetap dimakan bekal yang Q bawakan tadi. Tak sanggup dah nak telan makanan hospital.

"Nantilah kau dah sihat, aku belanja Marry Brown kau tu."

"Serius eh?" mata Amsyar mencerun memandang Q. Bukan boleh percaya sangat kata-kata gadis itu.

"Yaaa..." jawab Q meleret. Kemudian gadis itu menyambung, "Aku belanja, kau bayar."

Amsyar tarik dan hela nafas penuh reda. Sabar sajalah! Bubur disuap kasar ke dalam mulut.

"Comel betullah kau merajuk macam ni," ujar Q selamba. Sebelah tangan ditopangkan pada kerusi pelawat bagi menampung dagunya. Saja tenung Amsyar.

Bahananya, tersedak mamat tu dibuatnya. Q macam biasa, tersengih menyakat. Tapi tangan laju menghulur segelas air buat jejaka yang tersedak tadi.

Sedang Q ralit menemani Amsyar makan sambil berbual kosong, aktiviti mereka tergendala dengan kehadiran orang ketiga. Gadis anggun tinggi lampai bertudung putih berbusana tunic labuh warna lilac dan skirt labuh yang senada warnanya berjalan merapati mereka dengan senyuman.

Q bangun mendadak daripada kerusi. Terus dipeluk tubuh gadis anggun tadi.

"Kak Auji! Lama Q tunggu," senyuman Qalisya Umairah makin berbunga.

"Sorry, akak terserempak dengan Ed tadi kat bawah. Borak sekejap. Am, kejap lagi Ed naik atas teman Am. Akak dah janji nak bawa Q keluar," Kak Auji memberitahu.

Amsyar pula, tak pandang kiri kanan dah. Khusyuk tunduk menghadap bekal yang dibawa Q.

"Tengok tu, ralitnya. Tadi siapa eh kata tak nak makan bekal kita bawa?" Q giat mengusik.

"Bila masa aku kata tak nak makan?"

"Eh, aku ada sebut nama kau ke? Q ada sebut nama dia ke Kak Auji?" Q pandang Kak Auji di sebelah. Buat-buat tanya.

Kak Auji cuma tergelak. Tergeleng kepalanya melayan perangai Qalisya Umairah. Tak tahulah macam mana Amsyar boleh tahan nak layan perangai gadis ini sepanjang hampir empat tahun mereka berkawan.

"Sudahlah... kesian Am tu merah dah satu muka. Mujur je kepala dia tak berasap," Kak Auji merapati adik lelakinya yang seorang itu. Amsyar pantas menyalami tangan satu-satunya kakak yang dia ada.

"Am okey dah? Umi cakap malam ni dia datang lagi," Aulia Hazirah membelek tampang adik lelakinya. Luka kelmarin yang tercetak pada rahang kiri adiknya sudah semakin mengering.

"Cakap dengan umi, tak payah datang dah. Am discharge esok. Nanti kesian umi kena ulang-alik. Datang esok je," dahi Amsyar sudah berkerut. Bukan tak suka umi datang menjenguk, tapi dia sendiri dah nak daftar keluar esok. Lelaki itu cuma risaukan kesihatan dan keselamatan uminya saja.

"Biarlah umi nak tengok anak bongsu dia ni."

"Tak payah. Am tak nak susahkan umi. Abi kat rumah pun bukan sihat mana. Kakak cakap dengan umi, kalau umi datang malam ni, Am tak nak balik esok."

"Mengadalah dia ni!" Kak Auji tarik telinga Amsyar. Ada saja balasannya.

"Betul, betul!" Q menyampuk. Dan ternyata suaranya berjaya menghentikan gaduh-gaduh manja dua beradik tersebut.

Amsyar yang baru tersedar Q masih di situ, terus buat-buat batuk. Rasa malu mencucuk diri. Q tak pernah nampak dia macam tu.

Sedang Amsyar berusaha mengawal rasa malu yang tak pernah-pernah muncul bila di depan Q, pintu bilik wadnya dibuka. Bayang seorang lelaki yang Amsyar sudah lama nantikan akhirnya memunculkan diri. Lelaki itu menjulang sekali sesuatu pada tangan kirinya.

"Am! Aku dah bawa sekali kotak ba-"

Tak sempat Ed nak menghabiskan kata-katanya, wajahnya sudah dihentam dengan bantal wad Amsyar.

Amsyar yang sedang duduk di atas katil membulatkan mata. Memberi amaran supaya Ed tidak pecahkan rahsia.

Tak nampak ke seorang perempuan yang elok berdiri sebelah Kak Auji tu?

Nasib baik neuron otak Ed pantas berhubung. Nampak saja kelibat dua orang perempuan itu, terus Ed terbongkok-bongkok gaya orang Jepun mengucap sumimasen. Sempat Ed memberi isyarat mata pada Kak Auji untuk segera tarik Q keluar daripada wad itu.

"Jom, Q. Llao Llao ada promosi harini."

"Yeay! Bye, Am! Jumpa nanti," Q menjerit girang dan terus berlari keluar daripada wad Amsyar.

Terkebil-kebil Ed melihat aksi Q.

"Kau yakin ke nak pilih dia? Kena umpan aiskrim yogurt tu, laju je dia tinggal kau." Ed menapak ke arah kerusi pelawat sambil membawa bantal tadi sebelum diberi kepada tuan punya bilik wad ini. Duduknya dilabuhkan di situ.

"She will always choose food over me. Aku tahu tu. Dan aku tak kisah pun." Amsyar sambung habiskan bubur.

"Really?" Ed jungkit kening. Oh, what type of love is this?

"Because at the end of the day, muka ni juga yang datang bagi makanan dekat dia. Yang tahu macam mana nak comfort dia. Yang tahu nak handle dia." Amsyar unjur jari telunjuk sendiri pada wajahnya.

Ed baling-baling kotak baldu tadi.

"And honestly, it is not that hard to handle her."

Dan Amsyar, terus menarik kotak baldu itu ke dalam genggamannya. Kotak baldu itu dibuka. Isi di dalamnya dilihat dengan senyuman nipis yang berbunga harapan.

'I hope I won't be late this time. Apa nak jadi, jadilah.'

"Duduk dengan Q tu macam tengah jawab open-book test. It is really easy to read her. Mungkin sebab tu, tak ramai yang nak duduk dengan dia. Dia terlalu jujur. Dan bukan semua orang boleh tahan dengan kejujuran dia." Amsyar menyambung lagi.

"Tapi satu je masalah dia. Dia tunjuk dekat muka, tapi dia tak nak cakap."

"Tapi bukan dia selalu susahkan kau? Minta tolong itu ini?"

Amsyar tergelak.

"Jujurnya sekarang ni, aku lagi suka kalau dia datang cari aku dan nak susahkan aku. All those things I've done for her... aku tak rasa terbeban pun. And I just realised that I don't only like to befriend with her. Aku..." Amsyar telan air liur.

"You already fall in love with her?" Ed menyambung sendiri. Walaupun dia semacam geli dan cringe nak bertanya soalan macam tu.

Amsyar lepas nafas kuat.

"Sejak bila?" Ed cuba korek maklumat lagi.

"Kita orang pernah gaduh dulu. Tak adalah lama mana pun dia berdiam diri. Tapi sebab selalu dia yang kacau aku dulu, aku jadi pelik kenapa dia mengelak daripada aku? Only for me to find out she was hurted by me." Amsyar teringat masa Q mengelak tiga hari daripada dia sebab jejaka itu tak perasan apa yang jadi angkara dirinya sendiri.

"So since that day?" Ed usap dagu tajamnya. Cubaan serkap jarang lagi.

"I don't know. Mungkin sebenarnya lama dah cuma aku tak perasan. Because she was always there for me."

"Tapi mungkin kau rasa macam tu sebab macam kau cakaplah, sebab dia selalu ada dengan kau jadi bila dia hilang sekejap kau jadi tak tentu arah?" Ed cuba menimbang logik yang difikirnya.

"Then explain to me the worriness I had for her that I can't explain, even to myself, masa dia pergi masuk hutan baru-baru ni?" Amsyar lontar soalan sambil menentang tajam mata Ed.

"Rasa risau yang cuma wujud untuk family aku, untuk kau. Macam tu rasa risau yang aku rasa untuk dia. Rasa risau yang buat aku nekad to keep her next to me, so that I will be the first one who know all her troubles. I want to be the first one to settle all her problems. I want to be the one that she can depend on, every single time she has trouble what to decide. Salah ke rasa dan apa yang aku nak ni, Ed?"

Amsyar raup wajah. Ed hela nafas sambil geleng kepala. Ed sendiri tak sangka mamat sebelah dia ni rupanya boleh ada perasaan yang sebegitu rupa. Rupa orang yang tak pernah bercinta.

"Kau memang dah masuk kategori wajib kahwin ni, Am." Ed tergelak dengan gurauannya sendiri.

"Dude..." Amsyar pukul sahabatnya dengan bantal.

"Kau tak bagitahu dia kau accident sebab apa?"

Amsyar cuma senyum nipis sambil geleng kepala, "Nanti lagi serba salah Q tu bila dia tahu aku accident sebab nak uruskan suprise dia."

"Bila kau nak bagitahu dia pasal benda ni?" Ed nak menyibuk lagi.

"Nantilah tunggu masa yang sesuai." Senang saja jawapan si Amsyar ni. Haih.

"Dan kau tahu kita orang borak pasal apa sebelum kau masuk tadi?" Amsyar tersengih sendiri. Sekarang ni dia rasa macam nak cakap pasal Q saja.

"Jangan sengih macam tu boleh tak? Seramlah aku," naik kerut dahi Ed dibuatnya. Doktor tak salah buat diagnosis, kan? Ke otak mamat ni ada concussion sebenarnya?

"Well, I guess she finally has found her future." Kotak baldu itu Amsyar genggam kemas dengan senyuman terukir di bibirnya.


@thesealedlips

24.1505H.02.24





Comments