Mata sang gadis terkebil-kebil memandang pintu utama rumah bermaterialkan kayu jati yang terukir cantik itu. Tangan masih lagi memegang stereng kereta dengan gaya duduk yang sedikit menegang. Perlahan-lahan badannya disandar pada badan kerusi. Tengkuk digerak-gerakkan ke kiri dan ke kanan. Kedua-dua belah bahu ditumbuk silih berganti. Cubaan menghilangkan rasa lenguh yang kadang terasa bersambung sehingga ke tulang belakang.
Slip disc? Otak pantas menepis fikiran negatif tersebut. Dia pernah melihat rakan sekuliah yang terseksa hidupnya kerana sakit itu. Kelas kuliah paling lama pun tiga jam!
Bayangkan menahan sakit semasa duduk di dalam dewan kuliah itu. Kena duduk dalam dewan yang kerusinya berkusyen empuk tak mengapalah juga. Ada hari yang terpaksa duduk di kelas kuliah yang kerusinya material kayu keras sekeping. Sakit belakang, kebas punggung, usah dikatalah! Lumrah belajar. Mesti menanggung sedikit kepayahan.
Q masih lagi leka mengurut belakang badan dengan sebelah tangan. Kepala sudah tersandar menangkup di stereng. Tidak perasan langsung apa yang jadi kat luar walaupun di luar itu sedang sibuk dengan kelibat manusia ke hulu dan ke hilir menyelesaikan urusan masing-masing. Tidak sehingga tingkap di bahagian pemandu itu diketuk perlahan menangkap perhatiannya.
Muhammad Amsyar.
Lelaki itu melakukan gesture supaya Q membuka pintu kereta. Tidak menunggu lama, Q terus matikan enjin dan buka pintu kereta.
Halah, halah. Mesti nak membebellah tu orang pinjam kereta dia lama-lama. Q guling mata ke atas.
Itulah, suruh lagi orang beli barang sendiri. Lepas tu dengan rela hati wakilkan keretanya kepada Q.
"Buat apa lama-lama dalam kereta?" Amsyar menadah tangan, meminta kunci kereta.
Dan Q dengan tangan masih mengurut pinggang menghulur kunci tersebut tanpa banyak bicara.
"Sakit pinggang?" Amsyar seperti selalu, prihatin terhadapnya. Q cuma senyap dan angguk.
"Kau masuk rumah teruslah. Barang-barang ni kejap lagi, aku angkat."
Q terus menapak masuk tanpa sepatah bicara. Langkah Q yang longlai itu diperhati ralit oleh mata tajam Amsyar. Nampak penat sangat kawan baiknya itu.
Sekarang tengah persiapan majlis pernikahan Kak Auji. Sebagai antara homosapien yang rapat kepada manusia bernama Aulia Hazirah itu, Q relakan diri meringankan tulang membantu apa yang patut untuk keperluan majlis.
Waktu mendapat kad jemputan, terkejut tak terkejut juga Q jadinya. Terkejut sebab tak pernah dengar cerita Kak Auji bercinta. Tak terkejut sebab, yalah Kak Auji tu girl crush material sungguh! Bijak dan beradab orangnya. The real beauty with brain! Mesti ada yang berminat nak menyuntingnya sebagai penyeri kehidupan. Q selalu diam-diam memuja kakak kawan baiknya itu.
Apa pun, nasib baik majlis Kak Auji berlangsung semasa cuti semester terakhirnya. Walaupun cuti tak lama sebab Q sendiri tengah sibuk urusan untuk masuk ke gerbang graduasi. Alhamdulillah, Q sudah lepas pembentangan akhir untuk semester latihan industrinya. Walaupun sibuk menguruskan borang itu ini untuk proses tamat belajar, gadis itu tetap rasa tak sedap hati kalau tak menghulur bantuan di majlis Aulia Hazirah.
Dan disebabkan itu jugalah Q sudi untuk berkampung di rumah Umi Aisyah. Ibu kepada Amsyar itu kata lebih senang untuk Q 'bermastautin' sekejap di rumah mereka. Sekurang-kurangnya sampai selesai majlis akad nikah Kak Auji.
Q pun setuju saja. Nak tunggu majlis abang sendiri lambat lagi. Hmm...
***
"AAAAAAAA!!! Aku dah agak dah!"
Q menjerit sambil menekup wajah di bantal. Nasib baik tak main jerit je. Risau bertandang seisi rumah ke bilik tetamu yang dihuninya itu.
Gadis itu angkat kepala yang sedari tadi dibenam ke bantal. Wajah sudah berpeluh-peluh dan kemerah-merahan. Badan juga sudah meringkuk dengan tangan ditekan pada perut. Menahan sakit. Sikit lagi nak bergulung macam ulat gonggok.
"Huwaaaa! Kenapa masa-masa macam ni?" Ya Allah! Sumpah nak menangis!
Padahnya dah sebulan lebih tak datang bulan. Diri sendiri pun tak boleh agak bila masanya akan terkena lagi PMS. Susahnya kadang jenis kitaran menstruasi tak teratur ni.
Q pejam mata, cuba ambil nafas dalam dan dilepas perlahan. Dirinya cuba dibawa bertenang. Kadang tu kalau terlebih react pun makin menambah rasa sakit saja.
Mata kembali dibuka. Terkebil-kebil kejap sebelum terfikirkan sesuatu. Telefon pintar yang terletak di sisi meja lampu tidur dicapainya.
Darurat dah ni! Kalau boleh memang tak mahu menyusahkan orang. Tapi tak boleh nak bergerak langsung ni nak buat macam mana?
Tangan mencari nombor seseorang sebelum didail. Berdebar dada menunggu panggilan dijawab.
"Q?" Panggilan dah dijawab!
Q telan air liur sekejap.
"Q? Okey ke?" Orang di talian sebelah bersuara lagi.
"Ooookey... " lemah dan teragak-agak.
"Kenapa suara macam lemah tu? Kejap. I'll come to your room."
"Eh, Kak Auji! Kejap!" Nasib baik Q sempat menahan dulu.
Aduh, dia dah menyusahkan bakal pengantin!
"Errr, akak ada pad lebih tak? Dengan heating pad?" Q tergaru-garu kepala sendiri.
Talian di sebelah senyap sekejap.
"Ada. Akak ada."
Q lepas nafas lega.
"Nanti akak letak depan pintu bilik Q boleh?"
"Lah... baik akak hantar sampai dalam je?"
"Tak apa. Q segan." Ya ya saja Qalisya Umairah segan. Q tepuk tepi dahi sendiri.
"Yalah kalau macam tu. Ada nak apa-apa lagi tak?"
Q telan air liur. Haih... apabila ditanya soalan begitu, mulalah teringin macam-macam. Tak sempat nak brek mulut, dah terkeluar permintaan.
"Nak Ritter Sport Dark Chocolate boleh ke? Dengan Sprite?" Q terus tekup mulut. Tapi tak sempat Kak Auji nak balas, Q pintas dulu...
"Eh, tak apalah. Macam susahkan je."
Kak Auji tergelak. Tak apa. Dia sendiri perempuan. Dia faham apa yang Q tengah rasa.
"Tak ada susahlah. Okey nanti dah ada, akak letak depan pintu bilik. Nanti akak ketuk pintu bilik ya?"
"Okey. Terima kasih, Kak Auji. Maaf susahkan."
Aduh. Rasa macam kelakar pun ya juga. Duduk dalam satu rumah tapi nak bercakap tu kena guna telefon.
"Q turun makan malam tak?"
"Q tak laratlah akak. Cakap dengan umi, Q kata sorry tak dapat turun makan sama-sama malam ni." Sugul saja wajah Q. Tak dapat nak menikmati air tangan Umi Aisyah yang super power itu.
"Kenapa tak call bagitahu Am?"
Telefon Amsyar? Urusan macam ni? Heh. Memang taklah!
"Hehe..." Q mampu gelak hambar saja.
***
Hampir 30 minit Qalisya Umairah menunggu bantuan untuk tiba. Ya, bunyinya sangat dramatik. Tapi yang tahu je tahu macam mana rasanya bila kena serang PMS. Baik kena serang senggugut, baik kena serang mood swing. Dua-dua pun sama saja teruknya.
Kedengaran bunyi pintu bilik diketuk. Tadi Q sempat pesan dengan Kak Auji untuk tinggalkan saja barang-barang yang dipesannya di depan pintu. Nanti dia ambil sendiri. Segan nak bagi orang tengok keadaan dia yang macam tengah diambang maut kononnya.
Q gagahkan diri untuk bangkit. Uish. Rasa macam lutut dah jadi jeli. Longgar saja untuk berjalan. Silap langkah, jatuh tersepuk macam nangka busuklah jawabnya.
Pintu bilik dibuka. Nampak ada satu plastik besar berisi bantuan rahmah yang dipintanya tadi. Plastik berwarna putih itu dibawa masuk.
Dahi Q berkerut.
"Apa pasal macam extra berat sikit plastik ni?"
Duduk dilabuhkan di atas katil. Plastik diletakkan pada pangku sebelum ikatannya dibuka. Isinya digeledah.
Ada pad. Heating pad. Coklat. Air gas. Dan bubur? Bubur Marry Brown? Rasanya dia tak minta bubur pun tadi.
Mangkuk bubur itu diangkat keluar. Dibelek-belek sebelum perasan ada sehelai kertas warna kuning yang melekat pada mangkuk kertas itu.
"Dah tahu sakit perut minta air gas. Makan juga bubur ni kasi habis. Jangan biar perut kosong. Kalau jumpa pengsan esok, siap ya. Lain kali kalau sakit, bagitahu aku."
- Am -
Melopong terus mulut Qalisya Umairah. Rasa macam segala organ dalam badan turut terkejut. Sampai hilang sekejap sakit perut tadi. Dada dipalu debaran.
Jangan cakap...
Tak payah dia bagitahu Amsyar sendiri pun dah ada yang baik hati tolong sampaikan.
"Huwaaa! Kak Auji!"
***
Pintu kayu itu ditolak lembut. Tak mahu mengganggu suasana di sebalik pintu yang tertutup tadi. Matanya melilau melihat suasana di dalam bilik itu. Apabila pandangannya tertancap pada tubuh badan serba putih di hadapan meja solek itu, senyuman indah terus naik ke bibirnya. Langkah kakinya dibawa merapat ke arah itu.
"Kak Auji."
"Q." Figura serba putih berpaling ke belakang. Tubuhnya dibawa bangun daripada duduk sebelum badan Q dipeluknya.
"Cantiknya akak..." Anak mata Q masih tak berhenti scan Aulia Hazirah. Wanita yang digelar Kak Auji itu sekadar tertawa melihat gelagat sahabat Amsyar itu.
"Ala Q nanti kahwin pun mesti cantik." Bahu Q diusap-usap lembut.
"Maksudnya Q tak cantik ke sekarang ni?" Q saja tayang wajah sedih. Minta kena sepak agaknya.
Kak Auji tergelak. "Kalau tak cantik, tak adalah orang tu berangan nak dekat Q."
Kening Q terangkat mendengarkan pernyataan itu. Orang tu?
"Siapa?"
Aulia Hazirah cuma tersengih. Sabar, Auji! Jangan bocor rahsia!
"Q dah okey ke? Sakit perut lagi?" Teringat pula Kak Auji pada suara Q yang lemah malam tadi.
"Okey dah. Terima kasih Kak Auji for those things."
"Eh, bukan akak. Am yang hantarkan."
Dang!
Terkelip-kelip mata Q. Walaupun dia macam boleh agak dari malam tadi lagi.
"Semalam masa Q call tu, Am ada dekat sebelah akak. Nak sembang-sembang sebelum akak jadi isteri orang katanya. Dia dengar je akak cakap suara Q macam tengah sakit, terus menyibuk nak tahu. Sorry, Q." Kak Auji raih tangan Q sebelum diusap-usap perlahan tanda mohon maaf.
Q tampal senyum nipis. Benda pun dah jadi. Takkan nak marah Kak Auji pula kan? Mujur bantuan sampai. Cuma itulah... segan. Malu.
"Eh, jomlah turun. Tadi umi minta Q panggil akak sebenarnya."
"Err... pihak lelaki dah sampai ke?" Q nampak Kak Auji yang mulai gugup. Seronok buat jadi bahan usikan ni!
***
Kedua-dua Homosapiens itu tersenyum lebar melihat pasangan pengantin yang sedang diraikan di atas pelamin. Alhamdulillah. Selesai sudah akad nikah jam 10 pagi tadi. Makan beradab pun sama. Sekarang pengantin tengah sibuk bergambar di atas pelamin indah itu. Kejap pose gitu, kejap pose gini. Tergelak para tetamu dibuatnya.
Q sedang sibuk menjamu selera. Tak pandang kiri kanan dah. Nasi minyak pengantin oi. Lama dah mengidam nak makan. Kena pula selera dia tengah menggila hari ini. Biasalah, hormon.
Bunyi sudu dan garpu berdenting apabila dia mengaut nasi dan lauk di dalam pinggan. Q pastikan tiada sebutir nasi pun yang tertinggal. Memang habit dia waktu makan begitu. Dulu masa kecil, mama cakap kalau nasi tak habis, nanti nasi tu menangis. Sebab takut, daripada kecil sehingga ke besar dia akan makan sebersih-bersihnya. Mujur dia sendiri bukan jenis cepat kenyang dan tak habis makan.
Q sudahkan suapan terakhir. Sudu dan garpu diletak penuh tertib di atas pinggan. Cawan di sisi pinggan pula diangkat. Air sirap sejuk itu diteguk penuh sopan. Sopan sebab...
Jejaka berbaju melayu warna baby blue yang daripada tadi menemaninya di sebelah dikerling dengan hujung mata. Jejaka itu sedang menongkat tangan kiri memanggung kepalanya ke arah Q. Tak senang Q nak makan tadi. Nasib baik berjaya juga habiskan makanannya.
Q memaku pula pandangan kepada pasangan pengantin. Serba putih di hari bahagia. Dengan hiasan pelamin ala-ala di taman bunga. Hiasan yang tak begitu crowded tapi cukup menaikkan seri hari bahagia mereka.
"Look at her. Cantiknya..." Q memuji si pengantin perempuan.
"Right..."
Q menoleh kepada jejaka di sebelah. Muhammad Amsyar sudah bersedia menyambut pandangan Qalisya Umairah dengan senyuman. Terkelip-kelip mata Q membalasnya. Apabila segan mula memberi salam, Q paling semula wajah ke depan.
"Naik betul seri masing-masing dengan baju serba putih macam tu. Dia orang nampak sangat sesuai."
"Kita pun sesuai apa?"
Kening Q terjungkit.
"Kita pun pakai warna yang sama. Dah macam pasangan betul dah."
Q guling mata ke atas, "Dah umi sponsor aku baju ni, aku pakai jelah."
Perasan betul ya mamat ni?
Amsyar hanya tergelak.
"Sakit perut dah okey?" Prihatin.
"Dah. Thanks for helping. Sorry susahkan."
"My pleasure."
Eh, orang dah susahkan dia, dia suka pula?
"I wish I will be the first one for you to look up when you are in trouble."
"Huh?" Q kerut dahi. Tiba-tiba je?
"What kind of features that you look up to in a man?"
Hah? Lagilah. Tak pernah-pernah mereka buka topik seperti ini.
"Am, kau okey tak? Ke terlebih nasi minyak?"
"Aku tak makan lagilah nasi pengantin."
"Lepas tu? Sawan pengantin?"
"Aish... jawab jelah."
Terkebil-kebil mata Q nak menjawab. Tangan naik menggaru kepala yang gatal tiba-tiba. Sebab kena usik dengan soalan tu kut.
"Well..." Q tentang mata Amsyar.
"Soft spoken, tak baran, tahu dan laksanakan tanggungjawab, sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik."
"Practicing Muslim?"
"He is already a practicing Muslim when he holds onto his accountability."
"You describe me well, Q." Amsyar jungkit kening mengusik.
"Hei! Perasan sungguh anak Umi Aisyah yang ini." Q menggeleng pasrah. Gadis itu kemudian bangun untuk meletakkan pinggan dan cawan yang sudah digunakan.
"Let me."
Dan macam biasa, Amsyar mendahului dengan act of service gred A tambahnya.
***
Usai cedokkan nasi dan lauk ke dalam pinggan untuk Amsyar, Q beralih ke perkakas dapur. Pisau dan papan pemotong diambilnya. Sebiji buah tembikai yang belum dipotong dibawa keluar daripada peti sejuk. Kesemuanya dibawa ke meja makan. Sambil potong buah untuk dihidang di ruang tamu, sambil menemani orang tu makan.
Mengada je minta teman.
"Umi suruh potong ke?" Amsyar menyoal dengan mulut penuh makanan. Tak senonoh betul.
"Taklah. Saja je. Saudara-mara kau pun ramai lagi kat ruang tamu tu."
"Along dah balik eh?"
"Along? Along mana?" Q kerut dahi. Tangan masih gigih potong tembikai. Apa keras sangat kulit tembikai ni?
"Qalishlah."
"Oh, cakaplah Qalish. Ini tidak. Panggil along pula. Tu along aku."
"Eh, along kau, along aku juga."
"Bila masa?"
"Habis, kau panggil umi aku umi boleh pula?"
"Tu sebab umi yang suruh panggil gitu," Q muncung mulut. Itu pun nak jadi isu ke?
"Sama jelah." Amsyar masih nak cari pasal.
"Mana ada sama." Tak kuasa dah Q nak layan.
"So, dia dah baliklah eh?"
"Haah. Lepas makan lagi terus balik. Ada hal apa entah tadi katanya."
Amsyar terangguk-angguk. Tangan meneruskan menyuap nasi ke dalam mulut. Mata menatap Q yang tengah potong tembikai. Cantik dan kemas je gadis itu potong buah.
Amsyar berfikir-fikir. Patut ke dia bagitahu sekarang?
Ke nanti?
Ke tak perlu?
Ke...
"Q."
"Hmm?" Apa lagilah? Cuba makan tu diam-diam je.
"Jom kahwin?"
Terhenti terus tangan yang tengah potong tembikai.
"Q dengar tak?"
Selamba betul Amsyar sambung mengunyah. Tak nampak ke muka Q macam dah tersampuk hantu tu?
"Qalisya Umairah binti Abdul Qader. Jom nikah. Jom kahwin. Let's get in love in the very halal way. Let's build the family that you want. With me. Will you?" Dengan tangan masih bersambal ayam masak merah, Amsyar melamar sekali lagi.
Q masih pegun berdiri. Mata saja yang asyik kelip-kelip tak percaya. Perlahan-lahan tangan Q lepaskan pisau dan berlalu pergi dari ruang dapur.
Kemudian terdengar suara Q membingit...
"Umi! Kenapa dengan Am ni?!"
Jejaka itu cuma melihat dengan wajah yang bertempel senyuman tak bersalah. Suapan makanan diteruskan.
Habislah lepas ini Muhammad Amsyar bakal kena ceramah perdana dengan Umi Aisyah!
@thesealedlips
17.1627H.04.24
Comments
Post a Comment